Jumaat, 12 September 2014

Siapa Saya

Teks: Syaz Health & Beauty

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya coretkan sesuatu pada blog ini. Walaupun dah lama saya daftarkan blog ini, namun baru sekali saya dapat menulis begini.

Saya, Syazwani binti Tajidin. Dilahirkan pada 19 Mei 1988 di Kampung Tok Kepak, Megat Dewa, Kedah. Anak kepada pasangan bahagia, Tajidin bin Md Isa dan Wan Mazanah binti Wan Jusoh. Mempunyai 5 orang adik-beradik yang terdiri daripada 2 orang kakak iaitu Syarafina dan Syamimi serta seorang adik perempuan bernama Syahirah dan seorang adik lelaki bernama Muhamad Syahir.

Tanggal 9 Februari 2013, saya telah bernikah dengan Izzuddin Shah bin Kamal. Seorang suami yang sangat banyak membantu saya dalam membuat kerja rumah. Terima kasih suamiku! Alhamdulillah, genap setahun usia perkahwinan kami, lahir seorang putera yang kacak. Diberi nama Muhammad Haziq bin Izzuddin Shah, permata hati yang tidak ternilai kehadirannya disisi kami sekeluarga.

Cukup setakat itu dahulu cerita mengenai keluarga saya. Mengenai pendidikan, saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Convent Lebuh Light, Pulau Pinang seelum bertukar ke Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, Terengganu. Kemudian saya meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Terengganu. Setelah tamat persekolahan, saya mendapat tawaran belajar di UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya. Kampus ini merupakan salah satu kampus satelit UiTM Shah Alam. Di sana, saya menyambung pelajaran dalam jurusan Diploma Fisioterapi.

Alhamdulillah, selesai pengajian pada Jun 2009, saya tidak menunggu lama untuk mendapat peluang pekerjaan. Saya mendapat tawaran kerja sebagai seorang Fisioterapis di International Islamic University Malaysia, Kuantan Campus, Pahang dengan kemasukan pada November 2009. Di sini, saya ditempatkan di Multidisciplinary Pain Management Unit, Department of Anaesthesiology & Intensive Care sebagai Pain Physiotherapist. Kes-kes yang saya kendalikan kebanyakannya adalah sakit kronik.

Mengenai bidang perniagaan, saya memulakan langkah pertama dengan menjual tudung di pejabat. Bermula dari situ, baru saya sedar betapa minat saya dengan perniagaan. Tetapi disebabkan kekangan ilmu dan ketiadaan kemahiran untuk menguruskan perniagaan menyebabkan perniagaan tudung saya berhenti di tengah jalan. Namun itu tidak mematikan semangat dan rasa cinta saya terhadap dunia perniagaan. Kemudian, saya melaburkan sedikit wang untuk menuntut ilmu dalam bidang pemasaran. Dari situ, saya memulakan perniagaan perkhidmatan percetakan. Alhamdulillah, dengan sedikit ilmu yang ada, saya lebih yakin berniaga. Tetapi, disebabkan ketiadaan seorang pereka grafik dan disebabkan upah reka grafik yang agak mahal menyebabkan perniagaan percetakan menjadi sedikit perlahan. Tetapi perkhidmatan percetakan itu masih dijalankan dan sekarang sedang dinaik taraf untuk diambil alih oleh suami pula.

Bagaimana saya bermula dengan Shaklee? Semua ini bermula pada bulan Ogos 2013. Setelah saya disahkan mengandung, saya mula mencari sesuatu untuk memberikan yang terbaik buat anak di dalam kandungan. Setelah puas melakukan survey, saya nekad untuk mendaftarkan diri menjadi ahli Shaklee untuk menikmati diskaun. Permulaan saya dalam Shaklee hanyalah untuk menggunakan produk Shaklee buat diri sendiri. Selepas merasa keberkesanan Shaklee itu sendiri, barulah saya berani berkongsi kebaikan yang saya dapat itu bersama rakan-rakan. Tetapi ketika itu, saya tidak pernah terfikir untuk lebih serius menjadikan Shaklee sebagai mata pencarian saya. Sehingga pada suatu hari, saya terfikir untuk membantu orang ramai disebabkan pengalaman saya di tempat kerja. Sekarang saya lihat, terlalu rami orang yang mengambil mudah mengenai kesihatan. Ini yang menyebabkan saya terpanggil untuk berkongsi kebaikan Shaklee di samping mencari mata pencarian sampingan.

Semoga dengan sedikit pengetahuan saya di dalam bidang kesihatan ini, dapat memberikan kebaikan buat kita semua. Semoga kita dapat berkongsi segala cerita mengenai kesihatan dan kebaikan Shaklee.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular